KAYAK YANG DINAIKI TERBALIK AKIBAT DIPUKUL OMBAK KUAT

BISMIIlAHIRAHMANIRAHIM ASSALAMULAIKUM..





Yan: "Kami terpaksa bertarung nyawa hampir lima jam di tengah lautan selepas kayak yang dinaiki terbalik akibat dipukul ombak kuat,"
Begitu kata seorang peserta kayak wanita berusia 27 tahun yang enggan dikenali menceritakan detik cemas dialaminya selepas terkandas di tengah lautan kira-kira 4 Batu Nautika Barat Pantai Tanjung Dawai, Sungai Petani, dekat sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, sebanyak 11 kayak membabitkan 22 peserta dari Kelab Sukan Rekreasi Arus Deras sedang berkayak dari arah Pulau Bidan menuju ke Pantai Merdeka.
Namun tujuh kayak membabitkan seramai 14 peserta melalui detik cemas hampir lima jam selepas kayak yang dinaiki mereka terbalik akibat dipukul ombak dan angin kuat.
Mereka bagaimanapun bernasib baik dan terselamat apabila sekumpulan bot nelayan yang melalui kawasan itu membantu dan memaklumkan kepada pihak berkuasa.
Mangsa yang enggan dikenali itu berkata, program mereka bermula sejak jam 9 pagi kelmarin dengan pembabitan seramai 22 orang peserta terdiri 14 lelaki dan lapan wanita membabitkan 11 kayak yang melakukan aktiviti berkayak dari Pantai Merdeka menuju ke Pulau Bidan untuk berkhemah dan bermalam di sana.
Menurutnya, selepas selesai aktiviti berkhemah, mereka kemudian kembali berkayak untuk pulang ke Pantai Merdeka sekaligus menamatkan ekspedisi kayak itu
"Kami mula bertolak balik dari Pulau Bidan pada jam 10 pagi dan ketika itu kami sudah menyedari keadaan angin kuat namun tetap meneruskan perjalanan kerana menganggap keadaan itu hanya sementara," katanya ketika ditemui di Unit Kecemasan Hospital Yan, malam tadi.
Katanya, sebaik sahaja sejam berkayak dan tiba di tengah lautan, dia bersama seorang lagi pasangan kayak melihat beberapa buah kayak yang berada di hadapan mereka terbalik akibat dipukul ombak.
"Kami cuba menghampiri mereka namun keadaan ombak yang sangat kuat menyebabkan kayak kami juga dipenuhi air sebelum terbalik seperti rakan lain.
"Saya seolah-olah tidak percaya dengan apa yang saya lalui ketika itu kerana ia berlaku dalam sekelip mata.
"Saya tidak pandai berenang dan hanya mampu bergantung kepada jaket keselamatan selain turut berpaut pada sampan kayak kami," katanya.
Seorang lagi mangsa lelaki yang enggan dikenali berusia 36 tahun dari Pulau Pinang berkata, mereka yang agak ketinggalan di belakang kemudiannya tidak berani meneruskan perjalanan sebaik sahaja melihat beberapa buah kayak rakan terbalik.
"Kami tergamam melihat kayak rakan yang lain terbalik lalu mengambil keputusan untuk tidak meneruskan perjalanan sehingga diselamatkan bot Ronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM)," katanya.
Sementara itu, Ketua Penguatkuasa Pangkalan Maritim Kuala Kedah, Leftenan Komander Maritim Ahmad Kamal Mohd Noor berkata, pihaknya menerima aduan pada jam 4 petang.
Katanya, bot ronda APMM yang kebetulan berada berhampiran lokasi kejadian terus ke lokasi itu dan menyelamatkan 14 peserta sementara enam lagi diselamatkan bot nelayan serta dua mangsa diselamatkan bot urus setia program.
"Mereka kemudian dibawa ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Tanjung Dawai sebelum dikejarkan ke Hospital Yan untuk diberi rawatan," katanya.
Ahmad Kamal berkata, APMM pangkalan Kuala Kedah serius dalam usaha menyelamatkan nyawa di laut.
“Justeru saya menasihatkan orang ramai supaya merujuk nasihat daripada Jabatan Meteorologi sekiranya ingin melakukan sebarang kegiatan di laut.
Katanya, keadaan cuaca yang tidak menentu menambahkan risiko berlakunya kemalangan di laut.
Sebarang aduan dan kecemasan di laut boleh disalurkan melalui talian 24 jam MERS 999 dan pusat operasi Maritim Pangkalan Maritim Kuala Kedah di talian 04-7621810.


HARIAN METRO






Comments

Popular posts from this blog

Contest SEO – Malaysia Best Blog 2015

Giveaway Merdeka 2015 Mialiana.com