Watak Mazni Paling Mencabar Erra Fazira

KUALA LUMPUR – Erra Fazira yang telah terbabit dalam bidang lakonan sejak lebih 10 tahun lalu menganggap watak Mazni yang dilakonkannya dalam teater Badai Semalam adalah yang paling mencabar kredibilitinya dalam bidang itu.
Menurut Erra, dia berdepan dengan cabaran yang amat besar kerana bagi mencapai objektif itu pelbagai bakat seni yang ada dalam dirinya harus diperah bagi menunjukkan emosi dan kesengsaraan watak tersebut.
“Dalam Badai Semalam, saya bukan sahaja perlu berlakon dengan cara monolog tetapi juga kena menari dan menyanyi pada satu-satu masa. Memang susah untuk menggabungkan kesemua elemen itu dalam sebuah sketsa lakonan.
“Watak Mazni banyak bermain dengan emosi. Apatah lagi, saya hanya diberikan skrip penuh dua minggu sebelum pementasan ini bermula. Saya perlu menghafal dialog, menghayati watak Mazni dan melakukan latihan bersama pelakon lain.
“Kalau dalam teater Muzikal Tun Mahathir watak Dr. Siti Hasmah yang saya lakonkan hanya ada sembilan babak tetapi yang ini lebih,” katanya sewaktu ditemui wartawan selepas pementasan itu di Istana Budaya di sini baru-baru ini.
Teater Badai Semalam tulisan Khadijah Hashim dan diarahkan oleh Khairunazwan Rodzy itu popular kerana watak Mazni yang dipaparkan di dalamnya berjaya meruntun simpati dan penghayatan para pembacanya.
Kisah gadis berusia belasan tahun itu yang terpaksa berkorban jiwa raganya bagi menggapai impian untuk bergelar seorang doktor mencetuskan pelbagai konflik dan pengorbanan dalam hidupnya.
Badai Semalam yang dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur dari 11 November lalu hingga 20 November ini mengenakan tiket-tiket berharga RM30 hingga RM300.
Para Pelakon:
- Erra Fazira melakonkan watak Mazni
- Aaron Aziz (Karim)
- Fizz Fairuz (Zaki)
- Datin Paduka Umie Aida (Cik Rohana)
- Ziela Jalil (Cik Bibah)
- Emelda Rosmila (Cik Mahani)
- Jasmin Hamid (Dora)
- Iqbal Taufik (Encik Haris)
- Siti Norhabsah Sheikh Ahmad (Cik Ainun)
- Roslizawati Ab. Rahim (Mak Atun)
- Abdul Mutalif Abu Bakar (Osman)
- Feeza Nuraisyah (Aziah)
- Abu Bakar Sulaiman (Pak Abu)

Comments

Popular posts from this blog

Contest SEO – Malaysia Best Blog 2015

Giveaway Merdeka 2015 Mialiana.com